SUV PERODUA, BIARLAH RAHSIA

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh masih berahsia mengenai perancangan syarikat tersebut yang dikatakan bakal mengeluarkan kenderaan sport utility vehicle (SUV) pada tahun 2019.

Menyifatkan perkara tersebut sesuatu yang sedang serius dipertimbangkan Perodua namun menurut Aminar Rashid, setiap tindakan harus diambil dengan berhati-hati bersandarkan kajian yang telah dijalankan.

Ini kerana kehendak pasaran sentiasa berubah-ubah dan Perodua perlu memastikan kehadiran produk berkenaan masih belum terlambat ketika ia dilancarkan kelak.

“Pada hari ini, SUV adalah sesuatu yang digilai ramai tetapi apakah trend ini akan kekal pada dua tahun akan datang atau lima tahun akan datang?

“Perlu diingatkan bahawa untuk membangunkan sebuah model baharu, ia memakan masa di antara 24-36 bulan. Jangan pula apabila ianya sudah siap (pembangunan model baharu), pasaran sudah tidak menerimanya lagi.

“Jadi ini merupakan antara perkara yang pertimbangkan dan jalankan kajian. Jadi, sebarang keputusan adalah berdasarkan hasil kajian tersebut.

“Namun memang SUV adalah sesuatu yang kami pertimbangkan secara serius,” katanya semasa sidang media selepas membentangkan prestasi separuh pertama 2017 di Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Sebelum ini, Perodua pernah memiliki dua SUV kompak, Kembara dan Nautica (penjenamaan semula daripada Toyota Rush) namun kedua-duanya telah dihentikan pengeluaran pada tahun 2010.

Meskipun hanya memiliki dua model hatchback (Myvi dan Axia), sebuah MPV (Alza) dan sebuah sedan (Bezza), syarikat kereta nasional kedua itu masih lagi menguasai pasaran tempatan dengan penguasaan sebanyak 35.1 peratus setakat separuh pertama tahun ini.

Menurut Aminar Rashid, setakat enam bulan pertama tahun ini, Perodua telah menjual 99,700 unit kenderaan meningkat sebanyak 2.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan Axia menjadi model utama yang menerajui jualan.

Jelasnya, kesemua model Perodua merekodkan jualan tertinggi di dalam kesemua segmennya dengan Axia telah terjual sebanyak 32,600 unit diikuti Bezza 28,300 unit, Myvi, 24,000 unit dan Alza (14,700 unit).

Bagi separuh kedua tahun ini, Aminar Rashid menaruh keyakinan prestasi syarikat tersebut kekal positif dan mencapai sasaran jualan 220,000 unit didorong oleh promosi agresif yang dijalankan ketika ini.

 

Sumber MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published.