TAHAP KESIHATAN PEKERJA DI NEGARA INI MEMBIMBANGKAN

 

Kesihatan pekerja di negara ini di tahap membimbangkan dengan sebahagiannya mengalami masalah kesihatan, menurut maklumat yang diperoleh daripada Program Saringan Kesihatan yang dijalankan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata menurut statistik itu, 73 peratus daripada pencarum Perkeso yang menjalani saringan kesihatan mempunyai masalah berat badan, kencing manis (sembilan peratus), tekanan darah tinggi (27 peratus) dan kadar kolestrol tinggi (62 peratus).

“Statistik itu menunjukkan kurangnya kesedaran dalam kalangan pekerja khususnya pencarum Perkeso dalam penjagaan kesihatan. Kesedaran mengenai penjagaan kesihatan amat penting bagi memastikan pekerja kekal sihat untuk bekerja dan menyumbang kepada organisasi dan keluarga,” katanya.

Ismail berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Run and Ride Perkeso serta menyempurnakan majlis prapelancaran Hari Pekerja 2017 di sini, hari ini.

Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan untuk menggalakkan pekerja mengamalkan gaya hidup sihat, namun ia adalah tugas mencabar memandangkan mereka kurang kesedaran untuk menjaga kesihatan.

Pada majlis itu, lebih 5,000 peserta menyertai Run and Ride Perkeso yang turut disertai Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Adenan Ab Rahman, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

 

Sumber Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.