TAHFIZ DI SELANGOR TIDAK AKAN DITUTUP – KHUSRIN

 

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak akan menutup pusat tahfiz di negeri ini, sebaliknya akan terus memperkasakan institusi berkenaan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, pihaknya tidak akan melayan usaha pihak tertentu yang cuba menggugat institusi tahfiz.

“Pusat tahfiz berperanan melahirkan huffaz serta memastikan al-Quran terus subur di bumi Malaysia. Jadi buat apa hendak melayan pihak yang cuba melemahkan pegangan agama Islam kita.

“Memang kita akui ada pusat tahifz yang bermasalah serta tidak berdaftar, tetapi ia akan kita diatasi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Kecemerlangan Pelatih Baitul Ehsan, Bahagian Pemulihan Al Riqab MAIS di Sabak Bernam pada Khamis.

Mohamad Khusrin berkata, MAIS bercadang untuk menubuhkan lebih banyak maahad tahfiz sains dan teknologi di negeri ini, sekaligus melahirkan insan yang hebat ilmu dunia serta akhirat.

“Kita tidak mahu hanya melahirkan huffaz tetapi juga melahirkan golongan profesional yang berjawatan hebat,” katanya.

Sebelum ini bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyarankan penutupan semua sekolah tahfiz kerana institusi itu tidak memberi harapan kepada generasi baharu Islam.

Berikutan itu pelbagai pihak mengecam kenyataan Zainuddin dengan menyifatkannya terlalu radikal serta jahil terhadap al-Quran.

Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria berkata, saranan penutupan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan budaya masyarakat Islam, malah memberi maksud kita terlalu jauh dengan al-Quran.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.