TANAH FELDA : 240 DOKUMEN BANTU SIASATAN

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kecewa dengan apa yang terjadi kepada tanah FELDA di Jalan Semarak yang dipindah milik kepada pemaju tanpa pengetahuan agensi itu.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim perkara ini memang serius dan kerajaan menjalankan audit forensik oleh pihak luar untuk mengetahui mengenai pemidahan hak milik tanah tersebut.

“Saya nak bagi tahu memang perkara ini serius, sebab itu ramai yang bertanya. (Apabila) Perkara ini terdedah, walaupun diketahui pengurusan FELDA lebih awal, Perdana Menteri pun kecewa, sebab itu dijalankan audit forensik.

“ Kita juga kecewa dan serius. Malangnya kita tidak boleh dedahkan 240 dokumen yang disiasat forensik berkenaan serta syor-syor dikemukakan. Laporan itu juga digunakan polis dan (SPRM) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam siasatan mereka,” katanya di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau menjawab isu tanah FELDA Jalan Semarak yang dibangkitkan Ahli Parlimen PPBM Pagoh Tan Sri Muhyidin Yassin.

Tegas Razali, kerajaan akan memastikan perkara ini tidak berulang dengan cara semua agensi dan jabatan kerajaan perlu mematuhi peraturan am yang ditetapkan.

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pendang Datuk Othman Abdul mengenai bagaimana surat kuasa (PA) dikeluarkan sehingga membolehkan tanah itu dipindah milik, Razali berkata, semua dokumen PA  memang memenuhi kreteria sehingga berlaku pindah milik.

“Perkara ini lah dibawa ke pejabat tanah sehingga membolehkan pindah milik berlaku. Tetapi Yang Berhormat Johor Bharu (Shahrir) sering sebut, ini tanah kerajaan (FELDA), tak kan semudah itu dipindah milik,” katanya.

Apa pun menurut Razali, yang penting tanah itu sudah kembali menjadi hak milik FELDA tanpa sebarang kos selepas syarikat Synergy Promenade Sn Bhd menyedari perkara itu.

Menjawab soalan Ahli Parlimen PKR Indera Mahkota Datuk Fauzi Abul Rahman siapa yang mengeluarkan PA tersebut, Razali menjelaskan bahawa PA itu ditandatangani oleh Pengerusi FELDA dan Pengurus Besar ketika itu.

“ Ini bukan soal mengata siapa betul, siapa salah. Siasatan masih berlangsung. Saya sebut tadi ada banyak syor dan penemuan audit forensik,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.