TANGANI KONFLIK ROHINGYA DEMI KESELAMATAN SERANTAU – NAJIB

 

Malaysia menggesa kerajaan Myanmar membantu memudahkan rakyat terutamanya pelarian-pelarian negara itu untuk kembali pulang ke rumah dan komuniti mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia melahirkan kebimbangan kemungkinan kewujudan ancaman pengganas di rantau Asean jika isu rohingya tidak diselesaikan dengan baik.

“Sekiranya konflik Rohingya tidak ditangani dengan baik, Malaysia bimbang aktiviti penyusupan militan ke dalam komuniti akan berlaku,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Putrajaya 2018, sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia, DSA di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia, MITEC, di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Pengerusi Persidangan dan Pameran DSA Sdn. Bhd., Tan Sri Asmat Kamaludin.

Tambah Najib lagi, Malaysia sentiasa memainkan peranannya dalam usaha meningkatkan kerjasama keselamatan antara negara di rantau asia bagi membendung jenayah serantau.

“Inisiatif Rondaan Selat Melaka, yang dilaksanakan bersama tiga negara jiran iaitu Indonesia, Singapura dan Thailand pada Jun tahun lalu merupakan salah satu contoh tindakan yang berjaya menyatukan ketiga-tiga negara membanteras rompakan kapal yang melalui Lautan Hindi dan Laut China Selatan,” kata Najib.

Najib juga menegaskan kepentingan sesebuah negara mempunyai infrastruktur keselamatan yang kukuh bagi memastikan keselamatan serantau berada dalam keadaan aman dan bebas daripada ancaman pengganas.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.