TERIMA WALAUPUN PAHIT – NORAINI

 

Penolong Setiausaha Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Noraini Ahmad mengakui tindakan empat parti komponen Sarawak untuk keluar daripada BN merupakan keputusan yang berat untuk diterima.

Menurutnya kejadian tersebut menjadi lebih pahit apabila gabungan baru yang dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu mengumumkan untuk bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Namun kita berasa sedih kerana ia juga akan memberi kesan kepada kedudukan BN di Dewan Rakyat selepas ini, apa lagi GPS telah mengumumkan akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Walaupun pahit dan rasa dipinggirkan dalam keadaan yang sukar di ketika ini, BN akan terus mencari kekuatan untuk bangkit semula,” katanya melalui kenyataan media pada Selasa.

Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) menyaksikan kekalahan BN kepada gabungan PH setelah lebih 60 tahun mentadbir negara.

Kekalahan tersebut memberi impak yang besar kepada BN apabila kebanyakan parti komponennya membuat keputusan untuk keluar daripada gabungan tersebut.

Mengulas lanjut, Noraini yang juga merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong itu menggesa pucuk kepimpinan BN untuk membincangkan kaedah terbaik untuk membela kepentingan rakyat di Dewan Rakyat pada masa akan datang.

Beliau turut berkata keputusan parti Sarawak tersebut masih perlu dihormati dan turut menyeru ahli UMNO untuk menerima dengan baik keputusan tersebut.

“Walaupun keputusan ini akan memberi kesan kepada BN secara keseluruhan, namun kita perlu berpolitik secara matang dan menerima secara terbuka keputusan yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg itu.

“Ia juga satu cabaran kepada UMNO yang kini sedang memfokuskan ke arah kebangkitan semula parti bermula dengan pemilihan barisan kepimpinan baru.

“Namun saya percaya ia tidak akan mematahkan semangat ahli-ahli UMNO dan saya menyeru semua ahli-ahli parti supaya turut menerima secara baik keputusan Sarawak itu,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.