TH SEDIA SAMBUT 32,200 JEMAAH MALAYSIA

 

Tabung Haji (TH) membuat persiapan rapi dan bersedia menyambut ketibaan 30,200 jemaah haji yang akan menunaikan rukun Islam kelima untuk musim haji 1438H itu di Tanah Suci, bermula bulan ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata persiapan rapi itu membabitkan semua perkara terutama dari segi penginapan di hotel, makanan serta petugas TH dalam usaha memastikan jemaah selesa sepanjang menunaikan ibadat haji.

“Setakat ini, persiapan TH di Tanah Suci berjalan lancar kerana kami membuat persiapan sejak beberapa bulan lalu.

“Malah, petugas kita telah mula ke sana sejak 12 Julai lalu dan tahun ini seramai 600 petugas TH ditugaskan untuk menjaga kebajikan dan keselamatan jemaah Malaysia di Tanah Suci,” katanya selepas perasmian Kursus Perdana Haji Musim 1438H/2017M peringkat Pulau Pinang, pada malam Sabtu.

Kursus dua hari membabitkan 1,082 jemaah haji di Dewan Milenium, di sini itu dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Sementara itu, Syed Saleh yang juga Pengurus Besar Kanan Haji TH berkata, kursus itu bertujuan memberi gambaran awal buat bakal jemaah mengenai keadaan sebenar ibadat itu sebelum mereka ke Tanah Suci.

Katanya, kursus perdana yang diadakan di seluruh negara itu adalah latihan terakhir anjuran TH sebagai usaha meningkatkan tahap pengetahuan jemaah berkaitan ibadat haji terutama dari segi praktikal.

“Kehadiran jemaah di kursus perdana di seluruh negara juga sangat baik. Ada (jemaah) juga yang tidak hadir tetapi ia jumlah yang kecil serta bersebab dan mereka tidak perlu bimbang kerana petugas TH akan membantu memberikan maklumat dari semasa ke semasa,” katanya.

Penerbangan pertama akan berlepas pada 24 Julai ini manakala penerbangan terakhir dijangka pada 25 Ogos dan semua jemaah haji negara dijadualkan mula pulang ke tanah air pada 7 September.

Penerbangan terakhir dari Arab Saudi ialah pada 4 Oktober.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.