THOMAS TIDAK LAYAK SIASAT 1MDB- NAJIB

 

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa, Peguam Negara, Tommy Thomas dengan jelas menulis artikel yang merumuskan bahawa wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dimasukkan ke dalam akaun peribadinya, sebelum dilantik mengetuai Pejabat Peguam Negara lagi.

Najib berkata, Tommy menulis artikel terbabit yang berhubung kait dengan 1MDB bertajuk Grand Lacerny In 1MDB pada Julai 2016.

“Pendirian Thomas yang jelas tidak menyukai saya dalam artikel itu melahirkan kebimbangan saya yang beliau tetap akan mencari jalan untuk mengenakan satu pertuduhan ke atas saya dengan apa cara sekalipun.

“Artikel itu adalah jelas menunjukkan Thomas sudah mempunyai pendirian tersendiri ke atas saya dan saya merasakan tidak akan mendapat pertimbangan sewajarnya… Justeru saya menyatakan yang Thomas tidak patut dan tidak layak untuk terbabit dalam penyiasatan 1MDB dengan apa cara sekalipun,” katanya di Kuala Lumpur, Isnin.

Najib berkata demikian melalui afidavit sokongan difailkannya bersama-sama saman pemula secara ex-parte (sebelah pihak) terhadap Thomas; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Saman pemula itu difailkan secara berasingan terhadap ketiga-tiga individu terbabit pada 30 Jun lalu.

Najib memohon perisytiharan dan perintah bahawa ketiga-tiga responden adalah pihak berkepentingan dalam penyiasatan 1MDB dan bertindak secara prejudis terhadapnya (Najib) serta pembabitan mereka adalah tidak sah.

Sementara itu, Najib berkata, Mohd Shukri yang baru dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sudah merumuskan bahawa beliau antaranya menerima wang RM42 juta dan RM2.6 bilion pada satu sidang media berhubung SRC International Sdn Bhd.

Najib menegaskan, pada ketika sidang media itu dibuat beliau (Najib) belum dipanggil memberikan keterangan kepada agensi itu.

Najib selaku plaintif berkata, kenyataan media itu bersifat emosi dan berunsur dendam, malah lebih malang lagi menggambarkannya sebagai seorang pesalah.

“Saya percaya dengan kenyataan demikian, integriti dan profesionalisme Mohd Shukri boleh dipertikaikan… Beliau seharusnya bersikap neutral sehingga siasatan penuh dilakukan tetapi memilih untuk menghukum tanpa asas yang kukuh.

“Dalam situasi ini saya merasakan yang saya tidak akan mendapat satu siasatan yang adil dan telus.,” katanya.

Dalam afidavit sokongan melalui saman pemula terhadap Amar Singh pula, Najib berkata, Ketua Pengarah JSJK itu individu bertanggungjawab mengetuai serbuan ke atas premisnya termasuk yang didiami anak-anaknya di Pavilion Residence serta yang dipinjam daripada seorang rakan untuk menempatkan barangan yang dipindahkan dari kediaman rasmi di Seri Perdana.

Beliau berkata, serbuan oleh responden dan pasukannya tidak mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) dan laporan polis sudah dibuat mengenainya.

“Saya juga menegaskan bahawa saya sudah mengarahkan Tetuan Badrul, Samad, Faik & Co untuk menghantar surat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Integriti yang menyatakan antara lain bahawa mengenai ketidakpatuhan terhadap SOP itu,” katanya.

Najib berkata, Mohd Shukri tidak layak mengetuai pasukan siasatan SPRM dan sebagai ahli pasukan Petugas Khas 1MDB manakala Amar Singh tidak layak menjadi penasihat kepada pasukan siasatan itu.

Katanya, beliau juga sudah membuat laporan polis terhadap berhubung tindakan ketiga-tiga penyiasat kanan terbabit dalam siasatan kes berkenaan.

Prosiding kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadualkan pada 16 Julai ini.

 

Sumber BHONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.