TIADA KOMPROMI PEKERJA ASING HALANG TUGAS POLIS

 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim menegaskan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan pekerja warga asing yang cuba mencabar kewibawaan anggotanya ketika menjalankan tugas mencegah jenayah.

Tegasnya lagi, pihaknya memandang serius kejadian anggotanya yang diserang kira-kira 30 pekerja kontrak warga China pada malam Sabtu lalu.

“Kita (PDRM) pandang serius perkara ini. Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba halang tugas kita banteras jenayah.Setakat ini, lapan suspek telah direman untuk siasatan termasuk dua wanita, semua warga China,” katanya kepada pemberita selepas majlis perbarisan sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Isnin.

Jelasnya Polis akan mengambil langkah proaktif untuk memantau pekerja asing di Kuala Lumpur untuk mengekang pembabitan mereka dalam aktiviti jenayah seperti judi dan jenayah kekerasan.

Dalam kejadian 10.30 malam Sabtu lalu, sepasukan anggota unit kereta peronda terpaksa melepaskan tembakan selepas menerima ancaman serangan kira-kira 20 hingga 30 pekerja warga China ketika melakukan pemeriksaan berhubung kegiatan perjudian di hadapan kediaman pekerja kontrak di Jalan Imbi.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.