TIADA ROMBAKAN EXCO- MB JOHOR

 

Kerajaan negeri Johor tidak rancang untuk melakukan rombakan barisan Exco ekoran peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Datuk Abd Latif Bandi semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri akan terus digalas oleh Adun Mahkota, Datuk Md Jais Sarday yang dilantik ketika penyusunan semula Ahli Mesyuarat Kerajaan Johor pada awal Mac lalu.

“Portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri dipertanggungjawabkan oleh Datuk Jais.

“Yang mana kita buat pertukaran, kita kekalkan sampai Pilihan Raya Umum (PRU). Tiada cadangan untuk buat rombakan atau pertambahan,” katanya pada sidang media selepas hadir Majlis pelancaran kedai harga patut IMCOOP di Taman Bukit Dahlia di JOHOR BAHRU pada Jumaat.

Pada bulan lalu, Md Jais dilantik memangku jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri menggantikan Abd Latif bagi memastikan keberkesanan urusan kerajaan negeri.

Portfolio Pendidikan dan Penerangan yang disandang Md Jais pula diletakkan di bawah seliaan dan tanggungjawab Datuk Ayub Rahmat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri.

Sementara Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed turut diamanahkan bagi memikul portfolio Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi yang dipegang Md Jais sebelum ini.

Penyusunan semula semua Pengerusi Jawatankuasa tersebut telahpun mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.