TIAN CHUA LEGA DAPAT TANDING LAGI

 

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua lega dengan keputusan mahkamah yang mengurangkan denda terhadapnya kepada RM2,000 atas kesalahan mengeluarkan kata kesat terhadap pegawai polis, sekaligus membolehkan beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tian Chua ketika ditemui pemberita selepas prosiding mahkamah berkata, beliau kini akan menumpukan terhadap usaha Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi PRU-14.

“Hukuman denda RM2,000 menunjukkan bahawa saya masih berkelayakan menjadi Ahli Parlimen dan calon PRU-14. Apa yang berlaku kepada saya hanyalah episod kecil usaha kami semua selama ini,” katanya di Shah Alam, pada Jumaat.

Hadir sama ke mahkamah ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah.

Menurut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang itu tidak layak menjadi calon sekiranya dijatuhi hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 ke atas, atau kedua-duanya dan di bawah artikel sama, seseorang wakil rakyat boleh hilang kelayakan sebagai ahli parlimen sekiranya dijatuhi hukuman sama.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat menolak rayuan Tian Chua terhadap sabitan pertuduhan mengeluarkan perkataan kesat yang boleh mengaibkan seorang pegawai polis, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Abdul Karim Rahman membuat keputusan itu selepas berpuas hati sabitan itu yang diputuskan Hakim Yasmin Abdul Razak pada 9 Mac tahun lepas adalah selamat.

Mahkamah bagaimanapun menolak rayuan silang pihak pendakwaan untuk menaikkan hukuman denda RM3,000 yang dikenakan terhadap Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 54, sebaliknya mengurangkan jumlah denda kepada RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Anggota Parlimen Batu itu diwakili peguam N.Surendran dan Eric Paulsen sementara Timbalan Pendakwa Raya Nurul Huda Mohd Nor hadir bagi pihak responden.

Pada 9 Mac tahun lepas, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengenakan denda RM3,000 atau tiga bulan penjara terhadap Tian Chua selepas didapati bersalah menyebut perkataan mengaibkan kepada pegawai polis Petaling Jaya,  DSP Glenn A. Sinappah bagi mengaibkan kehormatannya.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa mengeluarkan perkataan kesat terhadap Deputi Superintendan Glenn A. Sinappah yang bertugas di Balai Polis Petaling Jaya, di pintu utama lobi sebuah hotel, jam 7.45 malam, 14 April 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Wartawan Watan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.