TMJ TAK SETUJU CARA PENAJA

 

Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan tindakan penaja yang mahu menarik diri sekiranya baginda tidak lagi menjadi Presiden Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) adalah tidak wajar.

Menurutnya, setiap usaha dan sumbangan pada masa ini perlu diteruskan demi pembangunan bola sepak negara.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengulas hasrat Pengerusi Ampersand Sports Sdn Bhd., Tan Sri Vincent Lee untuk menarik diri sebagai agensi yang memegang hak eksklusif mencari penajaan bagi saingan Liga Malaysia sekiranya baginda melepaskan jawatannya.

“Saya tidak bersetuju jika saya tiada maka penaja mahu menarik diri.

“Tetapi mereka perlu faham bahawa penajaan kepada bola sepak negara adalah demi kepentingan nasional,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM, pada Rabu.

Pada semalam di Johor Bahru, Vincent dilaporkan berkata pembabitan syarikat berkenaan untuk membantu Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) disebabkan yakin dengan kredibiliti dan visi TMJ yang bersungguh-sungguh mahu memajukan bola sepak tempatan.

Pada masa sama, Tunku Ismail memberi jaminan bahawa kepimpinannya bersedia memberikan yang terbaik dalam mengangkat semula maruah bola sepak negara.

“Apa yang kita cuba lakukan sekarang adalah memberikan semula sukan bola sepak kepada rakyat.

“Tiada sifat kroni dan tiada kepentingan diri sendiri. Saya  tidak mahu FAM mengambil satu sen pun tetapi memberikan kesemua hak penyiaran kepada semua pasukan yang bertanding,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.