TNB BAKAL LEPAS AIR EMPANGAN

 

Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah membuat persediaan di semua empangan hidroelektrik miliknya menjelang musim tengkujuh ini.

Ia bertujuan memastikan proses pelepasan air di empangan itu dilakukan secara terkawal dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Pengurus Besar Kanan (Operasi Aset), Bahagian Penjanaan TNB, Ir. Roslan Abd Rahman berkata, persediaan itu termasuk latihan pengungsian yang dilakukan TNB bersama pihak berkuasa tempatan serta agensi-agensi berkaitan.

“Selain menjana elektrik, empangan-empangan hidroelektrik milik TNB turut berfungsi sebagai tebatan banjir.

“Dengan kapasiti menakung air di hulu sungai, empangan-empangan kami dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir setiap kali musim tengkujuh tiba,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Khamis.

Roslan dalam pada itu turut menegaskan kesemua empangan hidroelektrik milik syarikat utiliti nasional itu sedang beroperasi berada dalam keadaan baik dan selamat.

Empangan-empangan hidroelektrik TNB terletak di Tasik Kenyir, Terengganu, Cameron Highlands, Pahang dan Sungai Perak, Perak.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.