TPM MAHU PM BAWA ISU ROHINGYA PADA TRUMP

 

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu rakyat tanpa mengira kaum, ideologi politik dan agama menyokong usul supaya Datuk Seri Najib Razak membawa isu Rohingya kepada perhatian Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam pertemuan antara kedua-dua pemimpin dijadual pada 12 Sept ini.

Timbalan perdana menteri berkata usul yang dibawa UMNO Kemaman dalam persidangan hari ini perlu dilihat bukan sekadar isu agama kerana isu Rohingya adalah isu kemanusiaan.

Katanya, perdana menteri yang akan melakukan lawatan kerja ke Amerika sebelum ini pernah menyuarakan keprihatinannya terhadap masalah yang menimpa kaum Rohingya yang kini hidup sebagai pelarian akibat ditindas dan dizalimi junta tentera Myanmar.

“Beritahu rakan-rakan kita daripada parti lain, rakan-rakan NGO kita supaya sokong perjuangan ini dan ketepikan perbezaan ideologi politik demi membela nasib Rohingya.

“Kita mahu bila perdana menteri bawa isu ini kepada Donald Trump, organisasi keamanan dunia dapat menangani masalah kaum Rohingya yang dilayan dengan kejam oleh pihak junta tentera Myanmar,” katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Kemaman, pada Jumaat.

Turut hadir Pengerusi UMNO Terengganu merangkap Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Ketua UMNO bahagian itu Datuk Ahmad Said dan timbalannya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

“Jemputan itu sebenarnya adalah bukti Donald Trump memberi penghormatan kepada kepimpinan perdana menteri dan bukannya bermakna kita berkiblatkan Amerika Syarikat. Kita adalah negara majmuk, kita adalah sebuah negara yang mahu menjadi negara maju dan kita mahu berkawan dengan semua kuasa besar,” katanya.

Zahid pada majlis itu turut mengumumkan peruntukan kerajaan persekutuan sebanyak RM80 juta bagi membina Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman yang baharu dan RM2 juta bagi membina gelanggang futsal di Bandar Baharu Kijal, Kemaman.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.