TUKAR JURULATIH BUKAN PENYELESAIAN – KHAIRY

 

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan langkah menukar jurulatih tidak mampu menyelesaikan masalah kemerosotan prestasi skuad Harimau Malaya secara menyeluruh kerana ia adalah lanjutan daripada struktur pembangunan bola sepak negara.

Menurut beliau, walaupun jurulatih negara Nelo Vingada ditukar pada waktu ini, ia mungkin tidak dapat melihat peningkatan positif prestasi skuad negara secara mendadak dengan segera.

“Justeru, saya meminta meminta peminat sukan tanahair agar tidak terlalu cepat menghukum pasukan negara sebaliknya menerapkan semangat kebangsaan dengan memberi sokongan sepenuhnya kepada pemain,” katanya pada sidang media selepas dialog TN50 Muafakat Aspirasi Generasi Baharu Felda di Menara Felda pada Selasa.

Khairy menjawab ketika diminta mengulas kenyataan legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh yang mendesak agar Vingada merangkap pengurus pasukan kebangsaan melepaskan jawatan sebagai tanda maaf kepada seluruh peminat bola sepak tanahair.

Vingada yang mengendali skuad kebangsaan sejak enam bulan lepas gagal meraih sebarang kemenangan sekali gus menutup peluang negara layak ke Piala Asia 2019 dalam perlawanan terbaru Malaysia yang mengalami kekalahan kedua berturut kepada Korea Utara dengan keputusan sama 4-1 di Buriram, Thailand, Isnin malam.

Bagaimanapun, Khairy melahirkan keyakinan masa depan bola sepak negara akan berubah dalam tempoh lima tahun akan datang berdasarkan prestasi pemain remaja yang telah banyak melakar kejayaan.

“Kalau tengok dari segi pembangunan bola sepak hari ini, NFDP yang dijalankan oleh Kementerian Belia dan Sukan, dan juga pasukan kebangsaan B-16, B-18 dan B-23, yang telah mencipta kejayaan, kita lihat masa depan lebih cerah.

“Saya melihat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang usahakan satu sistem pembangunan yang lebih tersusun, idea terbaru adalah divisyen empat supaya lebih ramai lagi daripada peringkat akar umbi dapat main dalam liga yang tersusun,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.