PERKASAKAN MAHKAMAH SYARIAH – TUN ZAKI

 

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi mencadangkan kerajaan persekutuan dan semua kerajaan negeri membincangkan dan mengkaji semula setiap undang-undang melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan dan Mahkamah Sivil serta membuat pindaan yang perlu.

Beliau berkata ini perlu kerana walaupun kerajaan telah meminda Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan Artikel 121 (1A) pada 1988 bahawa perkara-perkara syariah hendaklah diputuskan oleh Mahkamah Syariah, tetapi ia masih tidak jelas dan menyebabkan ada kes syariah tertentu dibicarakan di Mahkamah Sivil.

“Itu saya cadangkan, kerajaan perlu mengkaji satu persatu, pinda (dan) betulkan supaya lubang-lubang yang ada dalam undang-undang ini diisikan dengan undang-undang baharu.

“Mungkin persidangan mufti (perlu diadakan untuk) tengok satu persatu (undang-undang dengan) mengkaji kes-kes yang telah ada. Undang-undang adalah satu benda yang hidup dan perlu dipinda dari semasa ke semasa.

“Jadi bila berbangkit masalah, kena buat (pindaan),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Civil vs Syariah: Article 121 (1A) Is It Now Final’ (Sivil lwn Syariah: Artikel 121 (1A) Adakah Sudah Muktamad?) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, pada Rabu.

Turut hadir, Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Musa Ahmad dan Dekan Fakulti Undang-Undang dan Syariah Prof Madya Dr Zulkifli Hassan.

Artikel 121 (1A) adalah peruntukan perlembagaan yang menghalang Mahkamah Sivil mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Dalam pada itu, Zaki yang juga Profesor Adjung bagi Fakulti Undang-Undang dan Syariah USIM menyarankan orang ramai supaya memahami perbezaan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

“Banyak orang bertanya kepada saya soal isu apa sebabnya Mahkamah Sivil membuat keputusan atas soal undang-undang yang pada fahaman orang biasa patut dibuat oleh Mahkamah Syariah tetapi dibuat oleh Mahkamah Sivil kerana mereka tak faham bidang kuasa di antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

“Masalah besar sekali ialah bila antara dua orang bukan muslim, seorang daripadanya memeluk agama Islam dan melarikan anak? saya faham kerajaan telah membuat keputusan bahawa dia (suami) tidak boleh memeluk Islam sehingga dia bercerai dengan isterinya tetapi dari segi syarie adakah ini betul?

“Tetapi saya difahamkan di Wilayah (Persekutuan) dia (suami) tidak akan dibenarkan berkahwin semula sehingga dia bercerai dengan isterinya dan dapat perintah penceraian daripada Mahkamah Sivil, barulah pihak yang memeluk Islam itu dibenarkan berkahwin dengan orang Islam,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said pada 21 Ogos lepas dipetik sebagai berkata Rang Undang-undang (RUU) Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017 yang bertujuan meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau (Akta 164), tidak merampas hak bidang kuasa Mahkamah Syariah terhadap mereka yang memeluk Islam atau mualaf.

Pindaan dalam RUU tersebut hanya memberikan peluang kepada mualaf membubarkan perkahwinannya melalui prosiding sivil kerana sebelum ini peruntukan sedia ada tidak terpakai kepada orang yang memeluk agama Islam (mualaf).

 

Sumber Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.