UMNO JANJI TAMPIL LEBIH RAMAI CALON WANITA – ZAHID

 

UMNO komited dalam memastikan lebih ramai wanita ditampilkan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 bagi mencapai hasrat 30 peratus kaum wanita sebagai pembuat dasar, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO itu berkata, sudah tiba masanya lebih ramai wanita diketengahkan sebagai anggota parlimen, anggota dewan undangan negeri (ADUN) malah sebagai menteri selaras dengan negara yang sudah mencapai 60 tahun kemerdekaan.

“Dalam mencapai 60 tahun merdeka, kita harus berubah minda dan sikap berhubung wanita. Apabila wanita bekerja kuat, jangan puji mereka (wanita) secara retorik sebaliknya beri mereka peluang untuk bertanding pada PRU.

“Bagi mereka kedudukan kerana wanita hari ini telah berada di peringkat profesional dan boleh membuat keputusan yang baik di negara ini,” katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong di Maktab Rendah Sains Mara Batu Pahat, di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong Datuk Zulkurnain Kamisan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata dalam situasi dunia tanpa sempadan dan langit terbuka ketika ini, ramai pemimpin wanita di dunia Islam sudah mula melakukan perubahan.

Malaysia juga sedang menggerakkan usaha menggalakkan peranan wanita dalam kerajaan, katanya.

“Perdana Menteri Bangladesh, ada Khaleda Zia, Presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputri dan Thailand juga pernah memiliki perdana menteri wanita. Insya Allah, Speaker Parlimen Singapura Halimah Yacob juga akan menjadi Presiden Singapura sama-sama kita doakan,” katanya.

Beliau yang berpandangan Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dalam memartabatkan wanita turut meminta Mohamed Khaled supaya meneliti calon wanita yang sesuai bagi bertanding di kerusi parlimen dan dewan undangan negeri di negeri ini.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.