UMNO KEKAL PARTI KERAMAT – JOHARI

 

UMNO akan terus menjadi parti keramat kepada bangsa Melayu biarpun diuji dengan pelbagai dugaan sejak 71 tahun lalu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, hal demikian kerana kepemimpinan UMNO yang lahir mengikut peredaran zaman menyebabkan parti itu kekal dan terus relevan untuk menerajui negara sehingga hari ini.

“Sejarah telah membuktikan bahawa setiap pemimpin hadir mengikut kesesuaian zamannya.

“Kita anggap UMNO parti keramat tetapi keramat tak jadi secara automatik. Cuba kita tengok masa mula-mula kita nak merdeka dulu. Kita diberikan Tunku Abdul Rahman.

“Karakter Tunku sesuai dengan zaman merdeka. British masa tu suka Tunku kerana beliau ‘gentleman’ dan boleh bergaul dengan pelbagai kaum sehingga British yakin untuk beri kemerdekaan kerana British yakin pemimpin ini boleh menjaga semua kaum,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah, pada Ahad.

Dalam pada itu, Johari yang juga Menteri Kewangan II mengingatkan semua pihak supaya tidak tersalah memilih pemimpin kerana akan membawa kemusnahan kepada negara.

“Kalau salah pilih masalah kepada kita. Kalau kita pilih pemimpin yang zaman dia sudah habis tetapi pura-pura masuk zaman baru, akan masalah.

“Zaman pemimpin dahulu tak ada media sosial tetapi zaman Datuk Seri Najib Tun Razak, perkara ini berlaku, beliau menerima setiap kritikan dan masih boleh tersenyum biarpun orang kata macam-macam dalam facebooknya,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.