UMNO LANTIK PEGUAM TUNTUT DANA POLITIK

 

Sepasukan peguam telah dilantik bagi membuat tuntutan terhadap wang berjumlah RM116.7 juta yang disebut sebagai dana politik milikan UMNO yang disita pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) pada Mei lalu.

Ketua Unit Undang-Undang Ibu Pejabat UMNO, Datuk Seri Dr. Azalina Othman Said berkata Tetuan Scivetti & Associates dan pasukan peguam yang diketuai oleh Datuk Hariharan Tara Singh akan meneliti isu perundangan berkaitan tuntutan dana politik tersebut.

Beliau berkata peguam tersebut turut mempertimbangkan prosedur dan tindakan perundangan yang boleh diambil dalam menuntut dana politik itu.

“Pasukan peguam Ibu Pejabat UMNO juga akan membuat permohonan yang sewajarnya kepada agensi penguatkuasaan yang terlibat khususnya PDRM untuk mendapatkan maklumat berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

“Pada masa sama kami berharap supaya tiada mana-mana pihak membuat apa-apa spekulasi yang tidak sepatutnya terhadap perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Pada Mei lalu, pihak polis bertindak menyerbu apartmen mewah, Pavilion Residences yang merupakan salah satu daripada enam lokasi dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hasil serbuan, pihak polis berjaya merampas sebanyak 35 buah beg berisi hampir RM130 juta melibatkan pelbagai mata wang.

Beg mengandungi duit itu merupakan antara 284 kotak yang diisi dengan beg tangan berjenama, jam tangan, barang kemas dan wang tunai pelbagai mata wang.

Serbuan tersebut merupakan sebahagian daripada siasatan terhadap kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Walaubagaimanapun UMNO mendakwa wang yang dirampas tersebut bukan milik Najib sebaliknya milik parti dan menuntut pihak polis mengembalikannya kepada parti.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.