UMUM CALON 10 HARI SEBELUM HARI PENAMAAN – KU NAN

 

Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan calon bertanding seminggu ke 10 hari sebelum penamaan tarikh calon pada 28 April ini, ujar Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Walaubagaimanapun beliau berkata Presiden BN, Datuk Seri Najib Razak masih belum menetapkan tarikh bagi membuat pengumuman tersebut.

Tarikh belum ditetapkan presiden tetapi jangkaannya barangkali seminggu atau sepuluh hari sebelum tarikh penamaan calon,” katanya.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut menafikan dakwaan yang mengatakan calon BN sentiasa berubah-ubah sehingga ke saat ini.

Menurut beliau BN sedang berusaha mencari calon terbaik untuk dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kali ini demi mendapatkan kemenangan yang lebih besar.

“Ini persepsi orang-orang yang tidak faham apa yang sedang kami lakukan.

“Kita mencari calon yang rakyat suka, bukan calon yang parti atau saya suka jadi kita laksanakan saringan demi saringan untuk mendapatkan calon terbaik.

“Perkara ini penting bagi memastikan kita dapat bergerak ke hadapan sebagai parti yang bertanggungjawab dan supaya calon tersebut dapat membantu mencapai apa yang kita telah janjikan dalam manifesto kali ini,” ujar beliau dalam satu sidang media selepas merasmikan Hari Anugerah Kualiti Pendidikan Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya di Putrajaya pada Ahad.

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan yang juga merupakan Setiausaha Agung UMNO menegaskan bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan tidak pernah melarang mana-mana parti untuk memasang bendera parti masing-masing.

Namun katanya permohonan perlu dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum melaksanakan kerja-kerja memasang bendera dan bahan kempen.

“Tiada sebarang larangan di Wilayah Persekutuan semua bendera (parti) boleh pasang.

“Cuma mereka kena buat permohonan kepada PBT yang berkenaan, macam UMNO kami telah membuat permohonan awal dan bila diluluskan baru boleh dipasang.

“Di Putrajaya pun saya tidak menganggu bendera PAS, Keadilan, mereka nak letak tiada masalah walaupun di Yayasan Perdana bendera BN diturunkan oleh pihak-pihak tertentu dan diganti dengan bendera Keadilan,” katanya kepada media.

 

Oleh : SYAKIRIN DAUD

Leave a Reply

Your email address will not be published.