UMUM CALON SPEAKER DEWAN RAKYAT ESOK

 

Pakatan Harapan (PH) mengesahkan sudah mempunyai nama calon bagi jawatan Speaker Dewan Rakyat.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail walaubagaimanapun berkata nama tersebut hanya akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad esok.

“Semalam kita (PH) mengadakan mesyuarat dan hanya ada satu calon.

“Saya kira pengumuman (calon) itu akan diadakan sama ada hari ini atau esok, Dr Mahathir yang akan umum,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media selepas melancarkan Tabung Rakyat Palestin di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Putrajaya pada Selasa.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata nama-nama calon untuk jawatan Speaker Dewan Rakyat telah di senarai pendek dan akan diputuskan barisan pimpinan tertinggi sebelum sesi Parlimen bersidang 16 Julai ini.

Katanya, setiap parti komponen telah mencadangkan nama calon masing-masing dan ia sedang dibincang dan turut menjalani proses undian sebelum diputuskan.

Saifuddin berkata individu yang terpilih nanti perlu meletakkan jawatan dalam parti bagi memastikan mereka dapat melaksanakan jawatan yang diamanahkan dengan lebih telus.

Antara individu yang dijangka sebagai calon Speaker Dewan Rakyat sebelum ini ialah bekas Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan veteran DAP, Lim Kit Siang.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.