USTAZ KAZIM TANGGUH JUAL PUSAT TAHFIZ

 

Pengasas dan Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah, Datuk Ustaz Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, menangguhkan sementara keputusan menjual Unit Tahfiz Al Quran Al Barakah di pusat berkenaan di Manjoi, di sini.

Keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima reaksi daripada pelbagai pihak termasuk daripada kerajaan negeri yang sudi untuk berbincang dan membantu pengurusan pusat pendidikan berkenaan.

Ustaz Kazim berkata, beliau menerima panggilan daripada wakil kerajaan negeri pagi ini yang memaklumkan mahu mengadakan perbincangan dengannya mengenai masalah dihadapi pusat pendidikan berkenaan.

“Perbincangan akan dilakukan selepas ini dengan beberapa agensi yang ingin membantu sebelum saya akan mengumumkannya pada bulan hadapan sama ada akan menjual atau meneruskan unit tahfiz ini.

“Keputusan akan dibuat pada Ogos kerana sekiranya keputusan untuk menjual unit tahfiz ini kekal, saya perlu memikirkan nasib pelajar yang terpaksa mencari pusat tahfiz baharu dan tempoh empat bulan sehingga Disember memadai untuk mereka mencari pusat tahfiz baharu,” katanya pada sidang media di pusat berkenaan di Ipoh, Rabu.

Semalam, Ustaz Kazim mengesahkan akan menjual unit tahfiz di pusat berkenaan selepas tidak mampu membiayai kos keseluruhan unit tahfiz berkenaan berjumlah kira-kira RM150,000 sebulan.

Penjualan unit tahfiz berkenaan viral di laman sosial selepas dimuat naik ejen di laman mudah.my dengan harga jualan RM5 juta.

Katanya, kos pentadbiran sekolah itu kini tidak mampu dibiayainya disebabkan kuliah dan ceramahnya dibatalkan di saat akhir sehingga menyebabkan sumber pendapatan digunakan untuk membiayai pusat berkenaan terjejas.

“Saya tidak pernah minta dana daripada mana-mana pihak termasuk daripada parti politik untuk menguruskan pusat pendidikan ini namun sejak lepas Pilihan Raya Umum (PRU) bagaikan ada tangan-tangan ghaib yang cuba menghalang saya daripada menyampaikan ceramah.

“Saya tidak tuduh sesiapa dan tidak mahu tuduh sesiapa kerana ceramah saya dibatalkan oleh penganjur di saat akhir dan ada yang dibatalkan selepas saya dah sampai di bilik menunggu,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.