VIDEO PALSU : SKMM SIASAT RATU NAGA

 

Pihak berkuasa telah mengambil keterangan wanita yang menggunakan profil Facebook ‘Ratu Naga’ atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah berhubung sebuah video yang mendakwa warga Bangladesh diberi kad pengenalan.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata Syarul Ema Rena hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini susulan notis yang dikeluarkan suruhanjaya tersebut.

SKMM mengeluarkan notis terhadap wanita itu menerusi suaminya setelah usaha mengesannya di sebuah premis di Jalan Klang Lama di sini, gagal, demikian menurut kenyataan tersebut.

Menurut SKMM, keterangan wanita tersebut diambil menurut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan.

Semalam, Ketua Pegawai Operasi SKMM Datuk Dr Mazlan Ismail dilaporkan berkata SKMM telah menerima aduan mengenai penyebaran video tersebut dan siasatan sedang dijalankan dengan kerjasama polis bagi mengenal pasti individu yang terlibat.

 

Sumber BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.