WAN AZIZAH FITNAH FELDA, DIARAH BAYAR RM2 JUTA

 

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua yang lain diarah membayar ganti rugi sebanyak RM2 juta kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan syarikat pelaburannya berhubung artikel fitnah yang disiarkan lidah rasmi parti itu tujuh tahun lalu.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Datuk Su Geok Yiam terhadap Wan Azizah, bekas Senator Dr Syed Husin Ali dan penulis artikel, Rusnizam Mahat, secara bersama atau berasingan membayar ganti rugi itu selepas membenarkan Felda dan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) membuat rayuan terhadap ganti rugi RM70,000.

Menurut Geok Yiam dalam penghakimannya, mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam Felda bahawa ganti rugi RM70,000 dan kos RM10,000 yang diberikan kepada perayu sebelum ini sangat rendah dan sepatutnya dinaikkan.

Tambah hakim, Timbalan Pendaftar yang mengeluarkan perintah terhadap ganti rugi itu sebelum ini gagal untuk menilai bahawa artikel bertajuk ‘Felda bankrap’ dan artikel berserta gambar bertajuk ‘Kontroversi’ dan ‘Bina bangunan RM662 juta hanya libatkan tiga individu’, menyebabkan perayu mengalami kerugian kewangan dan sahamnya merundum.

Sehubungan itu menurut beliau, jika ganti rugi itu diketepikan maka ia akan mengakibatkan pihaknya memandang remeh terhadap kes fitnah terhadap mana-mana badan berkanun kelak.

Felda dan FGVH menang tuntutan saman terhadap tiga defendan itu pada 17 Oktober 2014 selepas mahkamah mendapati entiti itu selaku badan awam boleh mengemukakan saman berdasarkan Seksyen 15(1) Akta Pembangunan Tanah 1956.

Berikutan keputusan itu, Wan Azizah, bekas timbalannya, Syed Husin dan Rusnizam, yang dinamakan sebagai defendan mengaku bertanggungjawab terhadap dua artikel bertajuk Felda Bankrap dan Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu dalam edisi Suara Keadilan bertarikh 22 hingga 29 Jun 2010.

Melalui tuntutan saman difailkan 17 Ogos 2010 itu Felda dan FGVH berkata, pernyataan fitnah menerusi artikel itu membawa bermaksud plaintif tidak berupaya membayar hutang, hutang plaintif melebihi asetnya, tidak mempunyai kelayakan kredit dan tiada sesiapa yang ingin melakukan perniagaan bersama mereka.

Felda dan FGVH diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala peguam Francis Pereira bertindak bagi semua responden.

 

Sumber MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published.