WANGSA MAJU : BELUM ADA KETETAPAN – KU NAN

 

Ahli UMNO seluruh negara diingatkan agar menghormati segala keputusan presiden parti dalam menentukan calon yang akan bertanding.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak telah mengambilkira semua aspek yang diyakini mampu memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) sebelum memutuskan calon.

Oleh itu, beliau berkata insiden yang terjadi di Wangsa Maju baru-baru ini tidak wajar berlaku sekiranya semua pihak mengamalkan sikap terbuka dan bersabar.

“Yang lepas kita beri (kerusi bertanding di Wangsa Maju) kepada UMNO dan sebelum itu MCA tetapi kedua-duanya kalah.

“Jadi kita buat perbincangan dan berdasarkan tinjauan kita, MCA dakwa mereka lebih mudah menang di Wangsa Maju.

“Keputusan belum dibuat, tunggulah, yang meloncat-loncat di luar itu kenapa, calon belum lagi di umum,” ujar beliau ketika melancarkan Majlis Penyerahan Kunci RUMAWIP Residensi Razakmas di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Turut hadir ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

Foto Syakirin Daud@Watan-Online

Terdahulu media melaporkan tindakan ahli UMNO Wangsa Maju yang bertindak membekukan semua aktiviti ke satu tarikh yang belum ditentukan setelah mendapat khabar kerusi parlimen tersebut bakal diserahkan kepada MCA.

Turut tular di media sosial beberapa keping gambar bendera BN di kawasan Wangsa Maju yang diturunkan oleh pekerja parti sendiri.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan yang turut merupakan Pengerusi Perhubungan BN Wilayah Persekutuan menggesa semua pihak untuk mengamalkan sikap wala’, tabayun dan wasatiyah dalam menerima keputusan presiden.

Beliau turut menggesa ahli UMNO untuk bersatu hati dalam apa jua keadaan bagi memastikan kemenangan UMNO- BN dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kali ini.

“Kita terpaksa keluarkan satu surat untuk meminta semua ahli UMNO untuk wala’ tabayun dan wasatiyah.

“Akurlah dengan keputusan pemimpin, jangan buat kerja tuhan.

“Kita buat percaturan, kita tahu mana yang lebih baik. Kerana itu saya sarankan ahli UMNO seluruh negara jangan terasa hati, jangan nak mengugut. Kita kena bersatu untuk pastikan BN kekal menjadi kerajaan,” ujar beliau.

 

  • Wartawan : SYAKIRIN DAUD
  • Videographer: ZUL HAFIZ BAHRIN

Leave a Reply

Your email address will not be published.