WARTAWAN MALAYSIA DIPENJARA DI MYANMAR

 

Seorang wartawan warga Malaysia yang ditahan bersama seorang lagi wartawan Singapura oleh pihak berkuasa Myanmar, Mok Choy Lin, 47, telah dijatuhkan hukuman penjara selama dua bulan.

Kementerian Luar yang mengesahkan perkara itu berkata, Choy Lin dihukum penjara selepas disabitkan kesalahan di bawah Akta Aerodrome Myanmar 1934 seperti mana dilaporkan oleh beberapa media asing antarabangsa hari ini.

“Kedutaan Besar Malaysia di Yangoon telah mengadakan lawatan konsular ke atas Choy Lin.

“Choy Lin berada dalam keadaan baik,” kata kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, pihak kedutaan sedang bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkuasa Myanmar, Kedutaan Besar Singapura dan Turki di Myanmar dalam memantau dan menghulurkan bantuan konsular ke atas warga negara berkaitan.

“Kementerian Luar Negeri ingin menekankan keperluan warga negara Malaysia untuk memahami dan memastikan pematuhan sepenuhnya undang-undang negara yang dilawati bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Reuters melaporkan Choy Lin dan Lau Hon Meng, 43, merupakan dua wartawan yang ditahan polis Myanmar semasa bertugas di Myanmar.

Kedua-dua tertuduh yang bekerja untuk Turkish Radio and Television Corporation (TRT) didakwa cuba menggunakan drone untuk merakam imej video bangunan Parlimen Myanmar, Hluttaw, tanpa kebenaran selepas selesai menemubual seorang Ahli Parlimen negara itu.

Mereka ditahan polis Myanmar di pekarangan Parlimen ketika cuba menerbangkan drone untuk merakam Parlimen pada 27 Oktober lalu.

Menteri Penerangan Myanmar, Myint Kyaw difahamkan syarikat TRT Turki hanya memohon kebenaran membuat rakaman di Yangon dan negeri Rakhine tanpa menyebut lawatan wartawannya ke Naypyitaw atau penggunaan drone.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.