YWP TAJA PROGRAM UMRAH

 

Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) akan menaja kira-kira 50 orang terdiri daripada kakitangan Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi serta pemimpin masyarakat untuk mengerjakan umrah menerusi program Ibadah Umrah YWP 2017.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, program yang memperuntukkan sebanyak RM300,000 ini diadakan kali ketiga dan merupakan program khas bagi meraikan warga wilayah yang terpilih untuk mengerjakan ibadah itu.

“YWP merupakan agensi yang sentiasa berusaha untuk memberi khidmat terbaik kepada warga wilayah.

“Ekoran daripada itu, program ini menjadi bukti YWP yang komited dalam membantu dan menjiwai keperluan jasmani serta rohani rakyat sejajar dengan hasrat kerajaan dalam misi Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk melahirkan masyarakat yang membudayakan nilai agama,” katanya ketika berucap merasmikan dalam Majlis Amanat Program Ibadah Umrah 2017 YWP yang akan bermula pada 24 April hingga 4 Mei depan pada Selasa.

Turut hadir Pengarah Eksekutif YWP, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Roslan Hassan dan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

Tengku Adnan berkata, program tersebut akan diteruskan bagi memberi ruang dan peluang kepada mereka yang terpilih untuk mengerjakan ibadah Umrah.

“Program seperti ini merupakan usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) YWP serta dilihat mampu memberi manfaat kepada warga wilayah dan saya berharap agar ianya akan diteruskan pada masa-masa akan datang,” ujarnya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.