ZAHID NAFI PEMBABITAN TURKI

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid hari ini menafikan dakwaan kononnya pegawai Turki turut terbabit dalam operasi pihak berkuasa memberkas tiga warga negara itu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negari berkata, ia jelas bertentangan dengan kenyataan kerajaan di mana Ankara tidak terlibat dalam operasi itu.

Beliau berkata, sebaliknya pihak berkuasa Malaysia mendapat maklumat tentang kegiatan mencurigakan tahanan melalui Pusat Komunikasi Pintasan Mesej (counter messaging centre) selain kerjasama daripada agensi perisikan antarabangsa.

“Tidak benar, itu sumber berita yang salah. Saya tahu,” katanya pada sidang media selepas program ‘Universiti Bersama Timbalan Perdana Menteri’ di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, pada Jumaat.

“Daripada maklumat ini kita dapati ketiga-tiga yang ditahan adalah anggota pertubuhan yang diharamkan di Turki dan mahu menggunakan Malaysia sebagai tempat melancarkan gerakan baru di luar Turki.

“Jika kita melindungi mereka dalam jangka masa panjang, ia akan merosakkan imej negara. Ini tidak boleh dibiarkan,” katanya.

Semalam, laman Turkey Purge memetik agensi berita Turki, Anadolu melaporkan Pertubuhan Penyiasatan Kebangsaan Turki (MIT) dan unit anti keganasan negara itu bersama-sama dalam operasi menahan warga Turki di Malaysia.

Menurut laman yang giat melaporkan tindakan besar-besaran Presiden Recep Tayyip Erdogan ke atas pengkritik kerajaan itu, Anadolu melaporkan penglibatan pegawai itu secara rahsia dan tidak diketahui keluarga mereka sendiri.

Ketiga-tiga warga Turki yang ditahan itu adalah ahli akademik Ismet Ozcelik, Pengetua Time International School Ipoh Turgay Karaman dan ahli perniagaan Ihsan Aslan.

Sebelum ini, laman itu turut mendakwa Malaysia menahan mereka atas arahan Ankara namun ia dinafikan kerajaan Malaysia.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.